Archive for 05/01/2008 - 06/01/2008

Isu baju kurung putih pelajar perempuan jarang, seksi

Roslan SMS
Fri | May 23, 08 | 7:26:08 pm MYT

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia atau PKPIM adalah sebuah NGO yang telah ditubuhkan lebih 40 tahun dahulu. Matlamat persatuan ini antara lain adalah untuk mengembalikan pelajar-pelajar Islam Malaysia kepada idealisma Islam yang sebenar yang komprehensif sejajar dengan tuntutan al Quran dan Sunnah.

Badan ini walaupun aktif khasnya dikalangan para siswa Islam namun kadangkala oleh pelbagai sebab aktiviti, program dan kenyataan-kenyataannya tidaklah tertonjol sangat.

Baru-baru ini Pengerusi Halehwal Wanitanya (HEWI) Munirah Bahari telah mengeluarkan kenyataan mencadangkan agar pihak Kementerian Pelajaran menukarkan pakaian seragam pelajar perempuan di sekolah-sekolah.

Kata beliau ini bagi menangani jenayah seksual yang melibatkan remaja dan hubungan seks sebelum perkahwinan dikalangan pelajar.

Menurut Munirah lagi baju berwarna putih (baju kurung sekolah) yang digunakan di sekolah-sekolah sangat jarang dan menyebabkan ada daya tarikan disitu.

Lalu beliau mencadangkan jika tidak ditukar sekalipun, pelajar-pelajar berkenaan diwajibkan memakai singlet dalam atau tudung labuh yang tampak lebih kemas, selesa dan selamat.

Saya tidak nampak sebarang kecacatan atau keterlaluan dalam kenyataan Munirah yang mewakili PKPIM itu.

Tambah-tambah mereka adalah NGO pelajar Islam Malaysia, oleh itu layak dan paling sesuailah mereka terbit dengan cadangan ini, soal sama ada cadangan ini akan dituruti atau tidak, itu soal kedua, yang penting Munirah dan PKPIM sesungguhnya berhak menyuarakan pandangan mereka.

Masalahnya, semalam saya terbaca seorang Ketua Editor akhbar berbahasa Inggeris (yang bukan Islam) dalam blognya mengkritik saranan PKPIM ini.

Pertama beliau menganggap PKPIM sebagai sebuah NGO yang langsung tidak dikenali, keduanya tindakan NGO tersebut "stupid" atau bodoh dan ketiganya menganggap PKPIM sebagai jelmaan "Little Taliban" kerana mengusulkan sesuatu yang ekstrim dan melampau.

Dalam akhbar The Star hari ini, PKPIM terus menjadi gelanggang serangan pihak-pihak yang sememangnya samada tidak menghormati Islam ataupun penafsiran Islamnya menggunakan acuan ultra liberal barat yang bersandarkan logik akal semata-mata.

Sisters in Islam melalui Pengurus Programnya Norhayati Kaprawi menolak anggapan PKPIM bahawa pakaian sekolah yang ada ini menggalakkan rogol (adik Munirah sebut jenayah seksual) dan seks sebelum nikah.

Kata beliau tidak cukupkah dengan pakaian baju kurung yang ada sekarang. Lalu sebagaimana yang biasa SIS lakukan (iaitu memakai aplikasi logik mengatasi syariah) Norhayati berkata, wanita Melayu yang berkabung pun menggunakan baju kurung putih, apa masalahnya (tidak pula saya tahu wanita Melayu ada kod baju untuk berkabung?).

Malah tambah Norhayati, Wanita Umno pun menggunakan baju kurung putih, apa isunya (kenapa Wanita Umno pula menjadi sumber hukum?).

Manakala Pengarah Eksekutif Womens Aid Organisation (WAO) Ivy Josiah yang turut tidak bersetuju dengan saranan PKPIM itu mengatakan apa yang perlu bukannya menyemak semula polisi pakaina seragama berkenaan tetapi adalah menyemak semula tanggapan-tanggapan salah berkenaan pakaian wanita.

Kata beliau kes rogol berlaku bukan kerana pakaian, ianya akibat kuasa yang si rogol rasakan ia miliki terhadap mangsanya.

Bagi saya selaku badan yang bertanggungjawab PKPIM berhak mengemukakan cadangan ini, tambah-tambah ianya tidak langsung bertentangan dengan matlamat dan perjuangan mereka. Jika ada pihak yang tidak bersetuju atas apa alasan sekalipun, janganlah mengkritik dengan menyerang dan mempersendakan Islam pula.

Mengapa usaha untuk mendekati Islam dipanggil sebagai "Talibanisation"?

Saya menyeru badan-badan Islam, para alim ulamak dan ahli-ahli politik Islam dan yang semua yang berkenaan agar menyatakan sikap dan pendirian terhadap cadangan PKPIM ini.

Jangan biarkan mereka bersendirian menerima serangan dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Atau apakah kita semua juga sudah lunak dan termakan dengan dakyah kumpulan berfahaman ultra liberal Barat ini? - n32.blogspot.com

Isu Shariah Dalam Perniagaan MLM

Oleh : Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Jualan Pelbagai Peringkat atau lebih dikenali sebagai ‘Multi Level Marketing’ atau MLM adalah amat popular di Malaysia. Dalam pada masa yang sama, sistem yang sama juga digunakan oleh industri penjualan Saham Amanah Islam dan beberapa produk Takaful. Statistik tahun 2003 menunjukkan industri MLM Malaysia mencatatkan jualan RM 4 bilion dan lebih dari 3 juta orang Malaysia terlibat dalam urusniaga MLM.

Akibat dari kebanjiran produk dan syarikat yang menggunakan sistem ini dalam mempromosi dan penjualan produk mereka. MLM kini boleh dianggap sebagai sebuah sistem pemasaran yang diterima ramai. Bagaimanapun, amat jarang dijumpai ilmuan Shariah samada dalam atau luar negara yang ingin atau berminat untuk menghuraikan sistem ini dari aspek Shariah dengan terperinci dan konkrit. Ini mungkin disebabkan kerumitan atau kurangnya minat ilmuan Shariah untuk mendalami proses sistem ini.

Para ‘Ustaz’ dan Multi Level Marketing

Saya juga tidak dapat lari dari dibanjiri soalan demi soalan berkenaan hal ini. Pada awalnya, saya cuba untuk mengelak disebabkan terlampau banyak bentuk dan jenis MLM ini hingga menyukarkan sesiapa juga untuk memandu dan menerangkan hukumnya secara jelas. Di tambah pula mengenagkan pengikut dan pengamalnya yang terlalu ramai dan kebanyakkannya pula kelihatan ‘taksub’ dan amat yakin akan halalnya kaedah MLM ini.

Tidak kurang juga terdapat para graduan Shariah atau pengajian Islam yang digelar ‘Ustaz’ dan Ustazah’ yang juga kuat berkempen produk-produk syarikat dengan skim MLM. Lebih hangat dan meriah lagi, kumpulan ini kerap mendakwa ianya halal lalu diselitkan dengan pelbagai dalil Al-Quran dan Hadith yang menggalakkan umat Islam berniaga, kuat ekonomi dan lain-lain. Hakikatnya, dalil-dalil ini bukanlah khusus untuk menyokong MLM dan perniagaan piramid mereka.

Ikhlas saya ingin nyatakan di sini, agak ramai juga orang ramai yang terpengaruh dengan kempenan dari kumpulan ilmuan agama seperti ini, menyebabkan orang ramai menyertainya tanpa berfikir lagi berkenaan halal atau haramnya sesuatu produk itu kerana ia telah diiktiraf oleh seorang ‘ustaz’. Justeru, saya ingin menasihatkan semua rakan-rakan lulusan Shariah dan Pengajian Islam agar lebih berhati-hati memberikan sebarang hukum dan merujuk dengan lebih mendalam sebelum berkempen dan mendakwa halalnya sesuatu produk hanya semata-mata kerana ia mendapat keuntungan besar di dalamnya. Ini kerana agak ramai juga saya dapati orang ramai yang berkiblatkan ustaz tertentu dalam kempen MLM mereka. Berkatalah Al-Laith bin Sa’ad : « Seandainya orang-orang yang memiliki pemahaman halal dan haram meneliti masalah ini, pastilah mereka tidak akan membolehkannya kerana terdapat di dalamnya unsur perjudian » ( Riwayat Al-Bukhari, no 2346 ). Sayyidina Umar al-Khattab r.a telah mengingatkan:

لا يبع في سوقنا إلا من قد تفقه في الدين

Ertinya : “Jangan seseorang kamu berjual beli di pasar kami, kecuali ia telah mendalami ilmu (hukum) agama tentangnya” ( Riwayat Tirmidzi, no 487, hlm 129 ; Albani : Hasan)

Bagi membantu masyarakat yang semakin ‘hangus’ dalam industri ini, saya merasakan adalah elok untuk saya berkongsi panduan umum Shariah dalam hal penggunaan MLM ini. Bagaimanapun, saya tidaklah mampu untuk menujukan tulisan ringkas ini kepada mana-mana jenama MLM yang wujud di Malaysia mahupun luar negara. Tulisan ini hanya memberikan sedikit gambaran dan garis panduan yang diletakkan oleh undang-undang Islam dalam hal MLM ini.

Pengertian MLM

Secara umum ‘Multi Level Marketing’ adalah suatu cara perniagaan alternatif yang berkaitan dengan pemasaran yang dilakukan melalui banyak level (tingkatan), yang biasa dikenal dengan istilah ‘Upline’ (tingkat atas) dan ‘Downline’ (tingakt bawah), orang akan disebut ‘Upline’ jika mempunyai ‘Downline’. Pokok utama dari perniagaan MLM ini digerakkan dengan jaringan ini, sama ada yang bersifat ‘vertikal’ atas bawah mahupun ‘horizontal kiri kanan’ ataupun gabungan antara keduanya. (Lihat All About MLM oleh Benny Santoso hal: 28, Hukum Syara MLM oleh Hafidz Abd Rahman, MA)
Bentuk MLM yang Haram

Ada beberapa bentuk sistem MLM yang jelas keharamannya, iaitu apabila ia menggunakan sistem berikut :

1) Harga tinggi dari biasa : Menjual produk yang diperjualbelikan dalam sistem MLM dengan harga yang jauh lebih tinggi dari harga biasa, ia adalah amat tidak digalakkan menurut Islam malah menurut sebahagian ulama, aqad seperti ini adalah terbatal. Tatkala itu, ia digelar ‘Gabhnun Fahisyh’ menurut istilah ulama Fiqh. Hukum jualan secara ‘Ghabnun Fahisy’ ini diperbezakan oleh ulama antara harus, makruh dan haram. (Durar al-Hukkam Fi Syarh Majallah al-Ahkam, klausa no 356, hlm 369). Bagaimana Nabi SAW pernah mengisyaratkannya sebagai suatu kezaliman jika berlaku kepada orang yang tidak mengetahui selok belok harga barang. (Al-Qawaid, Ibn Rusyd, hlm 601)

2) Jualan target sebagai syarat komisyen : Selain dari yuran yang wajib dibayar oleh ahli, pada kebiasaannya terdapat syarat yang mewajibkan ahli tersebut mencapai target jualan tertentu bagi melayakkannya mendapat apa jua komsiyen dari hasil jualan orang di bawahnya. Apabila ia gagal mencapai ‘harga target’ tersebut maka keahliannya akan hilang atau tiada sebarang komisyen untuknya walaupun orang bawahannya menjual dengan begitu banyak. Semua MLM yang terlibat dengan syarat seperti ini, menyebabkan sistem MLM mereka menjadi bermasalah dari sudut Shariah kerana wujudnya unsur kezaliman terhadap ahli selain wujudnya kewajiban jualan bersyarat dengan syarat yang tidak menyebelahi ahli serta berbentuk penindasan. Seolah-olah pihak syarikat memaksanya dengan mengatakan “Anda mesti membeli atau mengekalkan penjualan peribadi sebanyak RM 500 sebulan bagi membolehkan anda mendapat hak komisyen orang bawahan anda”.

Pada asasnya, komisyen yang diambil atas usaha menjual (seperti ‘brokerage fee’) sesuatu barangan adalah adalah harus menurut Shariah, ia adalah pandangan ulama besar Tabi’en seperti Muhammad Ibn Sirin, ‘Ato’ Bin Abi Rabah, Ibrahim an-Nakha’ie dan ramai lagi (Sohih Al-Bukhari ; Al-Musannaf, 5/242 ; Mawahibul Jalil, 4/452 ). Bagaimanapun, komisyen dalam hal MLM dan system piramdi ini boleh bertukar menjadi haram apabila :-

* Diikat komisyen jualan rangkaiannya dengan sesuatu jualan olehnya, ia menimbulkan masalah dari sudut Shariah seperti unsur pemaksaan, syarat yang tidak sah dalam perwakilan dan perjudian.

* Komisyen datang dari orang bawahan yang langsung tidak dikenalinya kerana sudah terlampau jauh ke bawah. Ini menjadikan orang atasan seolah-olah mendapat untung di atas angina tanpa sebarang kerja dan usaha lagi. Ia juga boleh dikelaskan sebagai broker di atas broker di atas briker di atas broker dan seterusnya. Dalam hal berbilangnya rantaian komsiyen broker ini, menurut perbincangan saya bersama Syeikh Prof. Dr Abd Sattar Abu Ghuddah (Pakar Shariah utama dalam bidang kewangan Islam dunia di Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia, AAOIFI, Dow Jones Islamic Index dan lain-lain) ia termasuk dalam konteks memakan harta orang lain dengan bathil selain terdapat unsur judi. Ini adalah kerana ia seolah-olah meletakkan syarat kepada semua orang bawahan samada dengan pengetahuan mereka atau tidak, semua hasil jualan mereka akan diambil sebahagian keuntungannya untuk orang atasnya.

* Dari sudut yang lain, terdapat juga keraguan dalam isu pemberian komisyen di atas usaha dan tugas agen (wakil penjual) atau “brokerage” (tukang kempen). Ini kerana sepatutnya komisyen ke atas “brokerage” tidak harus mensyaratkan tukang kempen itu untuk membeli untuk diri sendiri sebagaimana yang berlaku dalam beberapa jenis MLM. Sesetengahnya pula mensyaratkan ‘broker’ atau ‘agen’ untuk menjual sendiri sebanyak sekian jumlah bagi memperolehi komisyen jualan broker (ahli) di bawahnya. Dengan sebab-sebab ini, hal ‘broker’ atau ‘agen’ menjadi syubhah dan tidak lagi benar ianya disifatkan sebagai komisyen wakil atau broker yang diterima Islam.

3) Jika ahli berdaftar menyertai MLM dengan yuran tertentu, tetapi tiada sebarang produk untuk diniagakan, perniagaannya hanyalah dengan mencari orang bawahanya (downline), setiap kali ia mendapat ahli baru, maka diberikan beberapa peratus dari yuran ahi tersebut kepadanya. Semakin banyak anggota baru bermakna semakin banyak jualah bonusnya. Ini adalah bentuk riba kerana memperdagangkan sejumlah wang untuk mendapat sejumlah lebih banyak yang lain di masa hadapan. Ia merupakan satu bentu Riba Nasiah dan Riba Al-Fadl. Hal yang sama juga hukumnya bagi perusahaan MLM yang tidak mempunyai produk bersungguh dan berkualiti, sebaliknya produk miliknya hanyalah berupa ruangan laman web yang tidak berfaedah buat kebanyakkan orang, atau apa jua produk yang hanya dijadikan sebagai alasan pembelian. Malah harga sebenar produknya juga adakalanya jauh dari harga yang dijual kepada ahli (sebagai contoh dijual produk web komputer, sedangkan haragnya jauh lebih tinggi dan si ahli pula tidak mempunyai komputer pun). Pada hakikatnya, si ahli bukannya ingin membeli produk itu, tetapi untuk menyertai rangkaian serta memperolehi wang darinya. Ia juga termasuk dalam yang diharamkan. Hal membeli produk tidak benar dengan niat utama memasuki rangkaian dan mendapat untung dari rangkaian ini telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Al-Lajnah Ad-Daimah Arab Saudi no 15/192-193.

4) Terdapat juga syarikat MLM yang melakukan manipulasi dalam menjual produknya, atau memaksa pembeli untuk menggunakan produknya atau yang dijual adalah barang haram. Maka MLM tersebut jelas keharamannya. Namun tidak semua MLM begini, cuma sebahagianya sahaja.

5) Terdapat juga unsur mirip “shafqatayn fi shafqah”, atau bay’atayn fi bay’ah, (iaitu dua aqad jenis jual beli dalam satu) yang dilarang oleh Baginda SAW dengan pelbagai lafaz antaranya : “

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن صفقتين في صفقة واحدة

Ertinya : “Rasulullah SAW melarang dari membuat dua belian (aqad) dalam satu aqad” ( Riwayat Ahmad, Al-Bazzar ; Al-Haithami : perawi Ahmad adalah thiqah ; 4/84 )

Ini berlaku apabila ada sebahagian syarikat MLM yang membuka pendaftaran ahlinya, setiap ahli perlu membayar sejumlah wang disebut yuran, tidak dapat dipastikan samada yuran tersebut untuk membeli kedudukan di dalam rangkaian ataupun membeli produk. Pada waktu yang sama, dengan termeterainya keahliannya itu, ia akan menjadi wakil pula bagi syarikat untuk merekrut ahli baru, maka tindakan MLM seperti ini, boleh dikatakan termasuk dalam kategori hadis : shafqatayn fi shafqah, atau bay’atayn fi bay’ah. Ini kerana, dalam hal ini, orang tersebut telah dikira melakukan transaksi aqad Mu’awadat (kontrak pertukaran hak kewangan) bila membeli produk atau menjadi ahli dan dalam masa yang sama masuk dalam satu jenis aqad lagi iaitu perwakilan (untuk menjualkan produk itu kelak di samping mencari ahli baru) dengan komisyen tertentu. Maka, praktis seperti ini jelas tergolong sebagaimana hadith di atas.

Kesatuan Fiqh Sedunia (Majma’ Fiqh Islami) pernah mengeluarkan fatwa ke atas satu bentuk perniagaan MLM jenama PT Biznas yang disifatkan sebagai haram kerana ia adalah salah satu bentuk perjudian. Selain itu, keputusan itu juga menafikan bahawa komisyen yang digunakan adalah komisyen atau upah ‘brokerage’ sebagaimana didakwa. (Rujuk keputusan nombor 3/24, 17 Julai 2003). Selain itu, Syeikh Salim Al-Hilali pernah mengeluarkan fatwa pengharaman dengan katanya : “Banyak pertanyaan berkenaan perniagaan yang diminati ramai. Yang secara umum gambarannya adalah mengikuti kaedah piramid dalam sistem pemasarannya, dengan cara setiap anggota harus mencari ahli-ahli baru dan demikian selanjutnya. Setiap anggota membayar yuran pada syarikat dengan jumlah tertentu dengan angan-angan mendapat bonus, semakin banyak anggota dan memasarkan produknya maka akan semakin banyak bonus yang dijanjikan. Sebenarnya kebanyakan anggota MLM yang menyertai cara ini adalah hasil motivasi bonus yang dijanjikan tersebut dengan harapan agar cepat kaya dalam waktu yang sesingkat mungkin, padahal ia langsung tidak menginginkan produknya. Perniagaan jenis ini adalah perjudian murni, kerana beberapa sebab berikut, iaitu:

Ø Sebenarnya anggota MLM ini tidak mahukan produknya, akan tetapi tujuan utama mereka adalah menyertai rangkaian piramid bagi mendapatkan kekayaan cepat apabila setiap ahli baru membayar yuran.

Ø Harga produk yang dibeli sebenarnya tidak sampai 30% dari wang yang dibayarkan pada syarikat MLM.

Ø Tujuan perusahaan adalah membangun jaringan individu secara berkesinambungan. Yang mana ini akan menguntungkan anggota yang berada pada level atas (Upline) sedangkan level bawah (downline) selalu memberikan nilai point pada yang berada dilevel atas mereka.

Justeru, saya kira, amat tipis untuk mencari MLM yang tidak tergolong dalam item-item salah yang saya sebutkan di atas, malah saya juga suka menyarankan agar pengamal-pengamal jualan amanah saham dan Takaful secara wakil untuk lebih berhati-hati agar tidak terjerumus dalam bab MLM. Bagaimanapun, jika anda masih ingin mendakwa halalnya MLM ini, saya sarankan agar pengamal MLM memastikan asas minima Shariah berikut dapat dipatuhi :-

1. Produk MLM ini mestilah dibeli dengan tujuan yang sebenarnya (seperti produk yang benar-benar bermanfaat dan dibangunkan dengan serius seperti ubat-ubatan berkualiti, unik dan lainnya). Justeru, produk MLM yang kabur kualiti dan kegunaannya tidaklah dibenarkan kerana ia hanyalah bertujuan untuk mengabui dalam undang-undang dan hukum Shariah, ia tiadalah halal di sisi Shariah. Justeru, kekuatan MLM itu ialah kepada produknya yang bermutu dan bukan kepada objektif jangka pendek mengumpul dana (modal).

2. Produknya bukan emas dan perak yang boleh dijual beli secara tangguh. Ini kerana penjualan barangan emas secara tangguh adalah Riba jenis Nasiah.

3. Komisyen yang diberikan kepada ahli untuk setiap penjual dan ahli bawahannya mestilah jelas. Tiada komisyen tanpa usaha, ini bermakna orang atas hanya berhak mendapat komisyen dari ahli bawahan yang dibantunya sahaja.

4. Keuntungan dan komisyen bukan berdasarkan ‘kepala’ atau ahli yang ditaja, tetapi adalah berdasarkan nilai produk yang berjaya di jualnya. Ini diperlukan bagi membuktikan ia menumpukan kepada perniagaan penjualan produk dan perkhidmatan dan bukannya permainan wang (money game).

5. Tidak diwajibkan bagi si ahli menjual jumlah tertentu bagi memperolehi komsiyen dari orang bawahannya.

6. Setiap ‘upline’ atau orang di sebelah atas mestilah menaruh usaha atas jualan orang bawahannya, seperti mengadakan perjumpaan taklimat, motivasi dan teknik berkempen secara terancang seperti sebuah syarikat yang pelbagai ahlinya. Ia perlu bagi melayakkannya menerima komisyen itu dari sudut Shariah, jika tidak adalah dibimbangi ia akan terjerumus kepada keraguan ‘syubhah’. Ini kerana konsep niaga dalam Islam tidak membenarkan suatu keuntungan dari sesuatu perniagaan yang diperolehi tanpa usaha. Justeru, sedikit usaha perlu dicurahkan bagi menjadi sebab haknya ke atas komisyen. Perlu diingat, kebanyakan ahli di kaki yang 10 ke bawah, mungkin tidak mengenalinya lantaran ia dilantik oleh orang bawahannya yang kesembilan. Jika tidak, apakah haknya untuk mendapat komisyen yang demikian berangkai dan begitu jauh ?.

7. Tidak menggunakan skim piramid iaitu skim siapa masuk dulu akan untung selamanya. Manakala hak mereka yang masuk kemudian akan berkurangan. Justeru, plan pemasaran mestilah memberikan hak kepada semua, malah orang bawahan mampu mendapat keuntungan lebih dari orang atasannya, apabila ia mampu menjual dengan lebih hebat.

8. Mempersembahkan system komisyen dan bonus yang telus dan boleh difahami dan dipantau oleh ahli dengan jelas. Ia bagi mengelakkan segala jenis penipuan.

9. Menstruktur plan pemasaran di anatara ahli dan orang bawahannya secara musyarakah iaitu perkonsgian untung dan rugi berdasarkan modal masing-masing dengan nisbah pembahagian keuntungan yang ditetapkan di peringkat awal lagi.

Akhirnya, saya tahu bahawa hukum MLM ini masih terbuka untuk perbincangan, malah Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah ketika perbincangan dengan beliau mengakui ini isu yang agak baru baginya. Benar, amat sukar ditemui tulisan para ulama Islam dari Timur Tengah berkenaan hal MLM ini, disebabkan MLM belum masuk ke pasaran negara Arab dengan meluas. Justeru, menjadi tanggungjawab para ilmuan Shariah Asia Tenggara untuk membantu masyarakat untuk mengetahui pandangan Shariah tentang MLM ini. Tulisan ringkas saya hanyalah pandangan awal bagi memberi peringatan bahawa dengan sekadar pandangan, kelihatan begitu banyak keraguan boleh muncul dalam perniagaan MLM ini. Tidak perlulah pembaca merasa marah dan benci dengan tulisan ini. Ini sekadar nasihat bagi mereka yang mengambil berat tentang pendapatan serta memikirkan barzakh dan akhirat mereka yang kekal abadi. Wallahu ‘alam.

Kuala Lumpur, Malaysia (14 Zulhijjah 1427 H = 4 Januari 2007)

Khas Untuk Semua Guru

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Guru dapat aib

KUALA LUMPUR: Hanya kerana memberi amaran kepada seorang murid akan melondehkan seluarnya, seorang guru terpaksa menerima aib ditahan empat anggota polis di kelas selepas perhimpunan pagi di sebuah sekolah elit, baru-baru ini.

Lebih memeritkan apabila guru dari sebuah negeri di pantai barat itu terpaksa meringkuk semalaman di sebuah balai polis, di sini.

Dia hanya dibebaskan selepas mendapatkan kerjasama seorang individu berpengaruh yang dikenalinya kira-kira jam 9 pagi.

Kejadian bermula apabila guru lelaki lingkungan 30-an terbabit memberikan kata dua kepada murid tahun dua itu seluarnya akan dilondehkan kerana melanggar disiplin sekolah secara berulang.

Murid itu, anak sebuah keluarga yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat, diberi amaran itu kira-kira jam 3 petang.

Bagaimanapun, murid terbabit yang dikatakan sering menimbulkan masalah di kalangan rakan memaklumkan kepada bapanya yang turut mempunyai hubungan dengan pihak tertentu.

Sumber memberitahu Harian Metro, bapa murid terbabit tersinggung dengan kata-kata kasar guru itu terhadap anaknya.

Malah, katanya, bapa murid terbabit mendapat kerjasama daripada seorang saudaranya yang juga anggota polis yang dipercayai bertindak terhadap guru terbabit.

“Saya terkejut apabila guru terbabit dibawa menaiki kenderaan polis selepas ditahan di kelas kira-kira jam 8 pagi sebelum dibawa ke sebuah balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Saya percaya penahanan guru itu ada kaitan dengan tindakannya memberi amaran akan melondehkan seluar seorang murid di sekolah itu.

“Memang kejadian itu sungguh memalukan guru berkenaan, terutama ketika ditahan di depan murid dan guru lain,” katanya.

Menurutnya, walaupun pengurusan sekolah itu cuba merayu kepada anggota polis supaya dihentikan penahanan itu, tetapi tidak berjaya.

Guru terbabit yang tidak sempurna anggota kakinya akibat kemalangan jalan raya dikatakan terkejut sebelum dibawa ke balai polis bagi diambil keterangan.

“Saya difahamkan dia ditahan di lokap sebelum guru itu menggunakan pengaruh seorang kenalan bagi membebaskannya,” katanya.

Sumber itu berkata, bapa murid terbabit sanggup menggunakan tindakan yang tidak masuk akal untuk memalukan guru berkenaan.

“Sepatutnya, sebagai seorang yang berpendidikan tinggi, bapa murid itu perlu memikirkan tanggungjawab seorang guru berbanding bertindak mengikut telunjuk anak yang terlalu dimanjakan,” katanya.

Dia kecewa kerana sekolah contoh itu dicemarkan dengan insiden yang sungguh memalukan apabila seorang guru dibiarkan bermalam di lokap hanya kerana menasihatkan muridnya.

Sumber itu berkata, guru terbabit sedang berbincang dengan keluarga dan rakan bagi mengambil tindakan sewajarnya terhadap bapa murid dan anggota polis terbabit terbabit.

“Pengurusan sekolah cuba mengelak kejadian itu diketahui media dan Kementerian Pelajaran bagi menjaga imej sekolah itu,” katanya.

Menurutnya, tindakan segera perlu diambil bagi membantu guru berkenaan selain menjaga imej profesion perguruan yang semakin menjadi sasaran pihak yang tidak senang dengan peranan guru.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II, Ku Chin Wah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan guru terbabit oleh beberapa anggota polis di sekolahnya.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan sebelum sebarang tindakan dilakukan.

Sumber : Berita Metro, 20 Mei 2008

Permata Untuk Isteri

Telah ku siapkan
Satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi
Sebagai isteri

Untuk kau penuhi dengan kemuliaan
Seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan
Untuk kau hargai denagn kasih sayang

Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami
Ku ingin kau mengerti
Bahawa hidup ini tak semudah yang kita janjikan
Yang kita janjikan
Kerana kau isteri ku

Islam penyelesai masalah pekerja - Nik Aziz

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan semua majikan, Ketua Jabatan dan syarikat supaya melaksanakan peraturan atau budaya kerja berpandukan ajaran Islam bagi mengelakkan pekerja terjerat dengan masalah majikan mendiskriminasi pekerja.

Beliau berkata, semua manusia sama ada mereka yang berjawatan Menteri Besar, Ketua Jabatan, Pegawai Kerajaan dianggap sebagai pekerja.

Justeru, katanya, majikan perlu memberi gaji atau elaun kepada pekerja mereka selepas selesai melakukan tugasan tanpa sebarang tekanan.

Menurut beliau, cara menyelesaikan masalah pekerja sama ada mereka di kalangan buruh kasar atau pegawai kerajaan, majikan perlu membayar gaji atau elaun mereka setimpal dengan tugasan masing-masing.

Katanya apabila majikan dapat menyelesaikan masalah pekerja mereka akan mendapat pahala, walaupun wang mereka habis dan pahala itu merupakan duit yang digunakan untuk membayar gaji pekerja.

"Cara untuk mendapatkan pahala majikan atau ketua jabatan dan syarikat perlu menyelesaikan masalah pekerja dengan adil," katanya dalam ucapan penutup Perhimpunan Pekerja dan Wacana Kebangsaan 2008 di Stadium Melawati, Shah Alam baru-baru ini.

Beliau menegaskan bagi menyelesaikan segala masalah gaji atau elaun pekerja tidak ada cara lain yang lebih berkesan selain berpegang pada ajaran Islam.

Tuan Guru Nik Aziz telah memegang jawatan Menteri Besar Kelantan selama lima penggal dan langkah awal yang diambil memberi tambahan gaji kepada pekerja dan cuti dua hari iaitu Jumaat dan Sabtu.

"Tindakan saya memberi cuti dua hari menyebabkan Kerajaan Pusat mendakwa kerajaan Kelantan mengajar rakyatnya pemalas," katanya dalam ucapan penutup.

Bagaimanapun, tambah beliau lama-kelamaan Kerajaan Pusat meniru segala perubahan yang dilakukan oleh Kerajaan Kelantan dengan menambah cuti pekerja sebanyak dua hari.

Begitu juga dengan cuti bersalin dahulu 40 hari menjadi 60 hari dan beliau melahirkan kebimbangan jika cuti bersalin ditambah menjadi 90 hari akan menyebabkan pekerja wanita berhenti kerja.

"Saya bekerja cara saya dan di akhirat pula saya sebagai Ketua Negeri akan dipanggil dahulu oleh Allah bersoal jawab berkenaan dengan rakyat, ekonomi, budaya, sosial negeri Kelantan," jelasnya.

Tambah beliau,jika kerja begini teruk semua manusia berfikir tentang tanggungjawab berhadapan dengan Allah,maka tidak ada orang yang berebut untuk menjadi Menteri Besar.

Menurut beliau, tapi ada yang berebut untuk menjadi Menteri Besar kerana ada benda lain yang menjadi pilihan. - mks.

Wajah Baru Dun Kelantan

Alhamdulillah,
Sidang DUN Kelantan sudah selamat disempurnakan. Pelbagai perkara menarik berlegar di dalam Dewan. Pertambahan ADUN penyokong kerajaan dan berkurangnya ADUN pembangkang merubah wajah Dewan Udangan Negeri pada hari ini.

Ketua Pembangkang yang baru, YB Dato Alwi dari Kok Lanas membawa nafas baru. Dato Takiyudin berseloroh 'BERBEZA SUNGGUH KOK LANAS DULU DAN KOK LANAS SEKARANG'. Kok Lanas dulu yang diwakili Dato' Anuar Musa banyak menentang idea yang dibawa pihak kerajaan negeri. manakala Kok Lanas sekarang, kelihatan lebih terbuka. Sanggup bekerjasama dengan kerajaan tok guru asalkan ianya membawa kebaikan kepada rakyat. sekali sekala keluar ayat Quran dari mulutnya, membuktikan besarnya perbezaan Kok lanas dulu dan Kok Lanas sekarang.

Apa yang ditunggu-tunggu, apakah ucapan yang lahir dibibir Kok Lanas yang baru merupakan satu realiti atau retorik semata-mata.
tunggu dan lihat

tq

Designer: FThemes.com | Converter: Blogger Themes & Blogger Templates
Flippa