Guru dapat aib

KUALA LUMPUR: Hanya kerana memberi amaran kepada seorang murid akan melondehkan seluarnya, seorang guru terpaksa menerima aib ditahan empat anggota polis di kelas selepas perhimpunan pagi di sebuah sekolah elit, baru-baru ini.

Lebih memeritkan apabila guru dari sebuah negeri di pantai barat itu terpaksa meringkuk semalaman di sebuah balai polis, di sini.

Dia hanya dibebaskan selepas mendapatkan kerjasama seorang individu berpengaruh yang dikenalinya kira-kira jam 9 pagi.

Kejadian bermula apabila guru lelaki lingkungan 30-an terbabit memberikan kata dua kepada murid tahun dua itu seluarnya akan dilondehkan kerana melanggar disiplin sekolah secara berulang.

Murid itu, anak sebuah keluarga yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat, diberi amaran itu kira-kira jam 3 petang.

Bagaimanapun, murid terbabit yang dikatakan sering menimbulkan masalah di kalangan rakan memaklumkan kepada bapanya yang turut mempunyai hubungan dengan pihak tertentu.

Sumber memberitahu Harian Metro, bapa murid terbabit tersinggung dengan kata-kata kasar guru itu terhadap anaknya.

Malah, katanya, bapa murid terbabit mendapat kerjasama daripada seorang saudaranya yang juga anggota polis yang dipercayai bertindak terhadap guru terbabit.

“Saya terkejut apabila guru terbabit dibawa menaiki kenderaan polis selepas ditahan di kelas kira-kira jam 8 pagi sebelum dibawa ke sebuah balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Saya percaya penahanan guru itu ada kaitan dengan tindakannya memberi amaran akan melondehkan seluar seorang murid di sekolah itu.

“Memang kejadian itu sungguh memalukan guru berkenaan, terutama ketika ditahan di depan murid dan guru lain,” katanya.

Menurutnya, walaupun pengurusan sekolah itu cuba merayu kepada anggota polis supaya dihentikan penahanan itu, tetapi tidak berjaya.

Guru terbabit yang tidak sempurna anggota kakinya akibat kemalangan jalan raya dikatakan terkejut sebelum dibawa ke balai polis bagi diambil keterangan.

“Saya difahamkan dia ditahan di lokap sebelum guru itu menggunakan pengaruh seorang kenalan bagi membebaskannya,” katanya.

Sumber itu berkata, bapa murid terbabit sanggup menggunakan tindakan yang tidak masuk akal untuk memalukan guru berkenaan.

“Sepatutnya, sebagai seorang yang berpendidikan tinggi, bapa murid itu perlu memikirkan tanggungjawab seorang guru berbanding bertindak mengikut telunjuk anak yang terlalu dimanjakan,” katanya.

Dia kecewa kerana sekolah contoh itu dicemarkan dengan insiden yang sungguh memalukan apabila seorang guru dibiarkan bermalam di lokap hanya kerana menasihatkan muridnya.

Sumber itu berkata, guru terbabit sedang berbincang dengan keluarga dan rakan bagi mengambil tindakan sewajarnya terhadap bapa murid dan anggota polis terbabit terbabit.

“Pengurusan sekolah cuba mengelak kejadian itu diketahui media dan Kementerian Pelajaran bagi menjaga imej sekolah itu,” katanya.

Menurutnya, tindakan segera perlu diambil bagi membantu guru berkenaan selain menjaga imej profesion perguruan yang semakin menjadi sasaran pihak yang tidak senang dengan peranan guru.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II, Ku Chin Wah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan guru terbabit oleh beberapa anggota polis di sekolahnya.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan sebelum sebarang tindakan dilakukan.

Sumber : Berita Metro, 20 Mei 2008

Designer: FThemes.com | Converter: Blogger Themes & Blogger Templates
Flippa