Kediaman termahal

MENGGUNAKAN bahasa mudah — bangunan itu hanya sesuai didiami seorang maharaja atau tsar. Walaupun memiliki berpuluh rumah agam di seluruh dunia, bilionair terkemuka dari Russia, Roman Abramovich, mengemukakan cadangan mencipta kediaman baru yang lebih besar dan mewah.

Bertempat di Lowndes Square di Britain, jika disiapkan nanti, rumah ubah suai Abramovich itu mencatat rekod sebagai kediaman persendirian termahal di negara itu.

Bangunan memiliki lapan bilik tidur itu dianggarkan bernilai sehingga £150 juta (RM942 juta).

Bagi pemilik kelab Chelsea yang menguasai kekayaan bernilai RM88 bilion itu, rumah berkenaan akan melambangkan dirinya yang dianggap sebagai manusia ke-15 terkaya di dunia.

Sumber yang rapat dengan pembinaan rumah terbabit berkata, bangunan diidamkan Abramovich itu lebih berupa istana.

“Dia mahu hiasan dalaman yang bertemakan neoklasik era Victoria bagi disesuaikan dengan penampilan luarannya.

“Jelas ini projek peribadi kerana jutawan seperti Abramovich akan memastikan firma terkemuka mengendalikan susunan hiasan dalamannya,” katanya.

Menurut sumber berkenaan, Abramovich akan mengikuti secara dekat setiap perkembangan projek itu dan tiada sesuatu pun mampu menghalang apa yang dikehendakinya.

Pelan pembinaan rumah itu — tertakluk kepada kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan Kensington dan Chelsea — jelas lebih daripada mencukupi untuk menampung keperluan keluarganya.

Bangunan lima tingkat di permukaan dan tiga tingkat di bawah tanah itu dilengkapi pawagam, kolam tertutup, bilik sauna dan wap, selain ruang membaca serta hiburan untuk kanak-kanak.

Semua enam bilik tidur dilengkapi bilik mandi besar, sama seperti dua bilik tetamunya.

Di belakang bangunan utama adalah empat rumah pangsa di atas garaj yang menjadi tempat kediaman pekerjanya.

Luas keseluruhan rumah itu adalah 2,787 meter persegi atau lima kali lebih luas daripada rumah lima bilik tidur biasa.

Ketika ini rumah berkenaan adalah dua townhouse yang dibahagikan menjadi sembilan apartmen pada 1998.

Sejak beberapa tahun lalu Abramovich membeli satu demi satu apartmen itu bagi memulakan impiannya mengubah bangunan berkenaan menjadi rumahnya tanpa perlu menukar binaan luaran.

Akhir 1990-an, Abramovich membelanjakan RM7.5 juta membeli unit pertama rumah berkenaan dan wang yang sama banyaknya digunakan untuk kerja-kerja mengubah suai.

Ia akhirnya menjadi kediaman Abramovich dan keluarganya selama beberapa tahun.

Itu cerita sebelum Abramovich memiliki Chelsea FC, tanah di Sussex dan satu rumah lain berhampiran Chester Square yang bernilai RM252 juta.

Selepas berpisah dengan isterinya Irina, rumah di Chester Square diserahkan kepada bekas isterinya, manakala apartmen di Lowndes Square kekal menjadi hak Abramovich.

Pakar hartanah yang enggan dikenali berkata, dia tahu Abramovich membeli rumah di Lowndes Square, tetapi tidak menjangka pembelian itu membabitkan keseluruhan bangunan.

“Nampaknya dia bersungguh-sungguh memiliki seluruh bangunan itu dan bersabar sehingga seunit demi seunit berjaya dibelinya,” katanya.

Untuk memiliki keseluruhan bangunan itu, Abramovich melabur di antara RM95 juta hingga RM126 juta, dan apabila proses ubah suai disiapkan, nilai hartanah itu menjadi RM946 juta.

Rekod nilai tertinggi rumah di Britain setakat ini adalah RM505 juta, juga di London.

Dengan keadaan rumah mewahnya, pemerhati berpendapat Abramovich mungkin merancang untuk menetap atau sekurang-kurangnya menghabiskan lebih banyak masa di Britain.

Tanpa Irina, Abramovich tidak kesunyian kerana bakal ditemani jelitawan Russia, Daria Zhukova, yang kini menjadi pasangan terbarunya.

Designer: FThemes.com | Converter: Blogger Themes & Blogger Templates
Flippa