Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my
SEJAK dulu lagi, hukuman rotan adalah jalan terakhir diambil untuk mendidik pelajar terutama mereka yang bermasalah.Namun, akhir-akhir ini hukuman rotan dilihat sebagai hukuman yang terlalu berat dan ada berpendapat ia bukan jalan terbaik mendidik pelajar.
Sebaliknya, kaunseling dikatakan lebih berkesan mendidik pelajar kerana ia mampu membentuk perubahan sikap pelajar dalam tempoh jangka panjang.
Tetapi, ada juga yang mempersoalkan, sejauh mana berkesannya kaunseling membantu mendidik pelajar yang bermasalah sedangkan nasihat ibu bapa langsung tidak diendahkan, inikan pula nasihat orang luar.
Malah, dengan pertambahan jumlah pelajar bermasalah berbanding guru kaunseling, apakah ia membantu pelajar?
Kaunselor berdaftar juga bekas guru bimbingan dan kaunseling selama 18 tahun, Hushim Salleh, berkata walaupun berada pada era pembangunan siber, kaunseling masih relevan bagi menyelesaikan masalah pelajar berbanding hukuman rotan.
Menurutnya, walaupun kaedah kaunseling mengambil masa, ia pendekatan praktikal untuk membentuk salsiah pelajar menjadi manusia lebih baik.
"Zaman berubah dan pendekatan pendidikan juga perlu satu anjakan paradigma kerana hukuman secara kekerasan tidak lagi relevan.
"Kaunseling yang menggunakan pujuk rayu dan nasihat secara lembut lebih melekat di hati pelajar untuk berubah secara berperingkat-peringkat," katanya.
Bagaimanapun, Hushim berkata, keberkesanan kaunseling ini juga adalah bergantung kepada guru bimbingan kaunseling.
Guru bimbingan kaunseling harus pandai memainkan peranan menarik perhatian pelajar supaya datang dengan hati terbuka untuk berkongsi masalah dan berbincang bagi merungkai kekusutan.
"Bagaimanapun, guru kaunseling kurang dikenali menyebabkan pelajar tidak tahu bidang tugas mereka.
"Justeru, saya berpendapat, guru kaunseling perlu turun padang mendekati pelajar bermasalah, bukan duduk di bilik menunggu mereka datang.
"Guru bimbingan perlu bersikap terbuka dan tidak garang seperti guru disiplin dan jaga rahsia perbincangan bagi membolehkan pelajar percaya untuk datang kali kedua," katanya.
Menurutnya, tanggapan negatif pelajar yang melabelkan sesi kaunseling membosankan perlu diambil perhatian.
"Sesi kaunseling bukan untuk mereka yang bermasalah saja tetapi ia perkongsian pendapat dengan mereka yang lebih berpengalaman.
"Guru kaunseling perlu ada personaliti bagi menyakinkan pelajar untuk mendapatkan perkhidmatan mereka," katanya.
Dengan purata seorang guru bimbingan kaunseling kepada 500 pelajar, pelbagai cara boleh dilakukan untuk membantu pelajar.
Antaranya, mewujudkan sistem mentor dan mentee serta menjadi kawan kepada pelajar terutama mereka yang dilabelkan bermasalah.
"Percayalah, senakal manapun pelajar itu, jika guru kaunseling bijak memainkan peranan, mereka akan berubah dan menjadi manusia berguna.
"Pelajar adalah manusia biasa, apa yang perlu ialah perhatian, kasih sayang dan menganggap pelajar sebagai rakan," katanya.
Sementara itu, Pakar Motivasi, Dr Rubiah Kulop Hamzah, berkata keberkesanan kaunseling mendidik pelajar memang diakui tetapi ia bergantung kepada cara pelaksanaan sesi itu.
Menurutnya, meminta seseorang menceritakan masalah yang dihadapinya bukanlah sesuatu yang senang, lebih-lebih lagi membabitkan pelajar sekolah yang dikategorikan sebagai pelajar bermasalah.
"Bagaimanapun dengan menggunakan pendekatan psikologi, ia mampu dilaksanakan."
"Bagi memulakan sesi kaunseling bersama pelajar terutama mereka yang dikategorikan sebagai pelajar bermasalah, mereka (pelajar) perlu bersedia berjumpa kaunselor.
"Apa yang perlu masa kini, kebanyakan sesi kaunseling diarahkan guru disiplin atau guru kelas. Ini perlu diperbetulkan," katanya.
Popular
-
Roslan SMS Fri | May 23, 08 | 7:26:08 pm MYT Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia atau...
-
Oleh Noriah Idris nori@hmetro.com.my KASIH sayang dan pengorbanan seorang ibu tidak ternilai harganya. Usaha membesarkan anak daripada tapa...
-
Assalamualaikum. Jam sekarang menunjukkan pukul 4.11 pagi. Pagi yang hening. Anak dan isteri telah tidur nyenyak. Tinggal aku sendiri melaya...
-
HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu mening...
-
Salam ukhwah fillah.. Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak saya hulurkan kepada sahabat-sahabat sekalian. Semoga kehadiran Ramadhan pada ka...
-
BAGAIMANA agaknya jika teman lelaki atau suami merajuk kerana sesuatu perkara yang tidak diketahui? Meskipun dianggap perkara kecil, ia mamp...
-
100% Authorized Kaspersky Internet Security KIS 2011 "KIS 2011 berkeupayaan melindungi computer anda dan memastikan computer anda selam...
-
Alhamdulillah, pada petang Ahad 11 Julai 2010 dua laporan polis telah dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Kulai. Laporan pertama dibuat ke ...
Post a Comment